Perancangan Eropah PSG hampir musnah  

Oleh Thani Hasbullah 28 February 2018 3771
Perancangan Eropah PSG hampir musnah  
Membuat pembedahan atau tidak, Neymar dianggap sudah terlepas aksi Paris St-Germain menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah di Paris pada 7 Mac ini.
 
Ini kerana kelazimannya kecederaan terkehel atau retak seperti dialaminya memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih tatkala penyerang bernilai RM1 bilion itu hanya mempunyai tempoh tujuh hari sebelum perlawanan timbal balik itu.
 
Demikian situasi yang perlu ditelan kem PSG ketika mereka mahu menerbalikkan defisit 3-1 yang diperolehi di Santiago Bernabeu, 15 Februari lalu, dengan urusan pembelian pemain termahal dunia itu dibuat semata-mata untuk menawan pentas Eropah selepas dikecewakan Barca -- tewas 1-6 selepas mendahului 4-1 -- dalam pusingan sama tahun lalu.
 
Perancangan Eropah itu seakan-akan sudah musnah walaupun belum tewas sepenuhnya selepas Neymar mengalami patah tulang metatarsal kelima dalam kemenangan 3-0 menentang Marseille, awal pagi kelmarin.
 
Jurulatihnya, Unai Emery, hari ini menyarankan semua pihak bertenang dengan kecederaan Neymar ketika dia sendiri yang berpeluh memikirkan nasib pelaburan RM1 bilion yang dibuat pasukannya untuk membalas dendam kekalahan Liga Juara-Juara tahun lalu.
 
Walhal ramai pihak, termasuk bapa Neymar, bimbangkan perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu nasib pemain itu bersama Brazil dalam Piala Dunia di Russia, Jun ini.
 
"Kami tidak membuat keputusan mengenai pembedahan untuk Neymar, ia tidak benar," kata Emery kepada wartawan.
 
"Pagi ini, saya mengadakan pertemuan dengan doktor dan dia memberitahu saya, Neymar terseliuh. Analisis menunjukkan terdapat retak kecil pada metatarsal kelima. Kami akan lihat bagaimana keadaannya beberapa hari lagi dan membuat keputusan dengannya. Buat masa ini, kami mahu bertenang dan lihat apa yang berlaku.
 
"Terdapat peluang kecil untuk Neymar bermain menentang Real Madrid -- kami perlu bersabar."
 
Selepas Emery membuat kenyataan sambil mengesahkan tiada pembedahan buat Neymar, bapanya, Neymar Sr, tampil lebih tegas dengan menafikan bahawa anaknya itu berpotensi membuat penampilan menentang Madrid dan pembedahan adalah jalan paling cepat untuk memulihkan kecederaan -- mencerminkan situasi sebenar masalah penyerang itu.
 
"PSG sudah tahu mereka tidak akan mempunyai Neymar selama enam hingga lapan minggu, tidak kira sama ada membuat pembedahan atau tidak.
 
"Ia penting untuk membuatnya cepat kerana kita tidak boleh menunggu. Pembedahan adalah cara paling cepat untuk memulihkan pemain itu," kata  Neymar Sr.
 
Kecergasaan ketika Piala Dunia sebelum ini juga tidak perpihak kepada Neymar selepas pemain Brazil itu mengalami retak tulang belakang sewaktu menentang Jerman di laman sendiri pada 2014.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen