Peluang Hamilton pintas rekod Schumacher?

Oleh Syamil Izwan Azizan 30 October 2018 161
 Peluang Hamilton pintas rekod Schumacher?
Tempat keempat yang diraih Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton, dalam perlumbaan Grand Prix Mexico sudah memadai buat dirinya untuk bergelar juara dunia musim 2018.

Ia sekaligus menamatkan perseteruan di antara dirinya serta Sebastian Vettel yang mewakili pasukan Ferrari dengan saingan masih berbaki dua perlumbaan untuk ditamatkan.

Di litar Autodromo Hermanos Rodriguez, Mexico, Hamilton hanya perlu memastikan dia berada di kedudukan ketujuh tanpa mengira apa jua keputusan yang diraih Vettel.

Begitupun, kemenangan menjadi milik pelumba Red Bull, Max Verstappen, dengan Vettel hanya berpuas hati di kedudukan kedua sementara rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen, melengkapkan kedudukan podium.

Namun, tumpuan lebih terarah kepada Hamilton yang mengesahkan kejuaraan dunia walaupun ini bukan perlumbaan terbaik pernah ditampilkannya.

Kejayaan itu menyaksikan Hamilton menjadi pelumba ketiga untuk menjadi juara dunia sebanyak lima kali selepas Michael Schumacher serta Juan Manuel Fangio.

Jika dibandingkan dengan kejayaannya sebelum ini, 2018 sememangnya memberi cabaran tersendiri buat Hamilton ekoran Vettel dilihat dapat menjelmakan semula rentak panduannya seperti mana yang dipamerkan ketika bersama Red Bull sebelum ini.

Semestinya rekod tujuh gelaran dunia yang dipegang Schumacher masih sukar ditandingi sehingga kini, namun Hamilton mempunyai peluang terbaik jika Mercedes mampu mengekalkan dominasi mereka.

Begitupun, kebangkitan yang mula dijelmakan Ferrari di samping kekuatan tersendiri yang dimiliki Red Bull pastinya tidak akan memberikan laluan mudah buat Hamilton, khususnya pada musim 2019 nanti.

Apa pun, Hamilton kini sudah tidak lagi "pening kepala" mengenai cabaran pertahankan gelaran dunianya meskipun berbaki dua lagi perlumbaan di Brazil dan juga Abu Dhabi untuk lengkapkan musim 2018.






 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen