Paling bernilai tapi mungkin paling kecewa

Oleh Burn Thevandran 17 March 2020 3556
Paling bernilai tapi mungkin paling kecewa
Liverpool masih belum dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris bagi musim ini, tetapi mereka telahpun dinobatkan sebagai pasukan paling bernilai oleh CIES Football Observatory.

Liverpool menjadi pasukan paling bernilai dalam pasaran senarai perpindahan dengan kajian dilakukan membabitkan lima liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris, La Liga, Ligue 1, Bundesliga dan Serie A. RM 6.74 bilion adalah nilai pasaran buat Liverpool menyaksikan mereka berjaya mengatasi beberapa kelab besar Eropah seperti Real Madrid, Barcelona mahupun Paris Saint Germain.

Untuk rekod, Liverpool berjaya menjuarai saingan Liga Juara Juara Eropah, Piala Super EUFA dan Piala Kelab Dunia FIFA pada musim 2019 dan ini adalah faktor-faktor yang memberikan mereka penilaian yang tinggi. Selain dari itu, pengiraan juga membabitkan keadaan pemain sama ada baki kontrak, umur, aksi bersama pasukan kebangsaan serta perkembangan kerjaya pemain sepanjang bersama kelab yang diwakili.

Ironinya, disaat dinobatkan selaku pasukan paling bernilai, mereka juga berkemungkinan besar bakal menjadi pasukan paling kecewa andai Liga Perdana Inggeris ditamatkan tanpa pemenang. Buat masa ini, saingan liga ditanggunhkan sehingga 3 April akibat penularan wabak covid-19 yang semakin menjadi-jadi.

Kiraan mudah, jika baki perlawanan liga tidak dapat dilangsungkan, mana mungkin akan ada pemenang mahupun yang tersingkir kerana baki perlawanan gagal disudahkan. Adalah sangat tidak adil andai satu pasukan dijadikan juara, akan tetapi nasib pasukan yang berjuang untuk ke Liga Juara Juara Eropah dan zon penyingkiran diabaikan.

Jalan ceritanya mungkin berbeza andai Liverpool berjaya mengesahkan kejuaraan liga lebih awal sebelum penangguhan dilakukan, dan biarpun berjaya meninggalkan pasukan di tangga kedua dengan jurang mata yang amat jauh, mereka masih memerlukan enam lagi mata untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Jadi adakah Liverpool harus menunggu satu tahun lagi untuk kembali bersaing merebut takhta liga? Atau mungkin wajar mereka terus diberikan gelaran juara? Hanya pihak FA Inggeris sahaja yang mempunyai hak untuk membuat keputusan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen