Pak Don senjata rahsia Ah Hoe?

Oleh Burn Thevandran 18 February 2020 2287
Pak Don senjata rahsia Ah Hoe?
Liridon Krasniqi yang baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia dijangka akan dipanggil bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Keupayaan Liridon Krasniqi bukan lagi menjadi rahsia kerana umum sudah mengetahui kebolehan dan kelebihan yang dimiliki rakan baik kepada pemain kebangsaan Jerman, Emre Can. Lihat sahaja sewaktu Liridon beraksi bersama Kedah dalam pertemuan bertemu JDT, bagaimana begitu mudah beliau membuat "kacau" sehingga basah lenjun jersi pemain-pemain JDT dibuatnya. Itu belum dikira aksi-aksi dengan skill "nakal" memperkotak-katikkan pemain pasukan lawan.

Selepas semusim berkelana di Melaka United, kini untuk musim 2020, Liridon bermain pula bersama JDT. Sudah tentu tempat beliau dalam kesebelasan utama tidak akan dipersoalkan dan dijangka akan bergandingan pemain tengah kental, Harris Harun dan Nazmi Faiz.

Tidak keterlaluan andai penulis menyatakan, kehadiran pemain berusia 28 tahun ini akan menjadi tunjang utama jentera tengah negara. Biarpun perlu melalui sesi pemilihan dan tiada jalan mudah  buat Liridon mewakili Malaysia, namun bukan lagi menjadi rahsia bahawa pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe sememangnya menantikan kehadiran Liridon secara sah dalam skuad kebangsaan. FAM sudah pun memberi pengesahan bahawa Liridon sudah mendapat lampu hijau dari FIFA untuk mewakili Malaysia dan berita ini sudah tentu merupakan khabar gembira buat kem Harimau Malaya.

Berdasarkan laporan media tempatan, Ah Hoe berkira-kira mahu Liridon bergandingan dengan pemain kacukan Brendan Gan dan pemain tempatan asli, Azam Azih di bahagian tengah. 
Kreativiti dan keupayaan yang dimiliki tiga pemain ini dilihat mampu menjadi senjata rahsia Harimau Malaya menghadapi pihak lawan, yang secara tidak langsung turut memudahkan usaha barisan pemain serangan seperti Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Mat Yo mendapat hantaran-hantaran berkualiti untuk meledakkan jaringan.

Liridon akan memakai jersi nombor 88 bersama JDT. Agak-agak nombor apa beliau akan pakai bila menyarung jersi Harimau Malaya nanti? Penulis secara peribadi memang tidak sabar mahu melihat aksi Liridon bersama Malaysia. Nak tengok juga sejauh mana gandingan Liridon-Brenda-Azam, sama ada mampu mengemudi jentera tengah dengan baik, atau akan "struggle" dalam aksi pertama beliau.

Kredit foto: Facebook Liridon Krasniqi

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen