Ole, Ole, Ole super-sub taruhan United

Oleh Syamil Izwan Azizan 20 December 2018 1336
Ole, Ole, Ole super-sub taruhan United
Buat kali ketiga berturut-turut penulis masih memperkatakan tentang jawatan pengurus kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United susulan dua penulisan sebelum ini mengenai Jose Mourinho.

Pengendali kelahiran Portugal itu sudah pun mengucapkan selamat tinggal selepas dipecat pengurusan tertinggi United berikutan prestasi tidak menentu di samping permasalahan lain di luar padang.

Lantas pengendali sementara diperlukan United ketika mereka sedang merencana siapa individu sesuai untuk menerajui tugas pengurus itu sepenuh masa bermula musim hadapan.

Pilihan mereka telah diumumkan dengan bekas pemain United sendiri, Ole Gunnar Solksjaer, diberi tugas untuk cuba mengubah nasib pasukan itu berbaki separuh lagi aksi liga untuk diharungi selain kempen Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah turut menjadi tumpuan.

Sebagai pemain, Solksjaer amat dikenali dengan sikap tenang di atas padang di sebalik keberkesanan penyudah yang melengkapi jentera serangan yang ketika itu turut merangkumi Dwight Yorke, Andy Cole serta Teddy Sheringham.

Tidak hairan dia diberi jolokan "baby-faced assassin" selain kemunculannya yang kerap kali dari bangku simpanan menyaksikan gelaran "super-sub" yang mampu mengubah rentak perlawanan.

Paling diingati semestinya jaringan kemenangan ke atas Bayern Munich pada 1999 yang membantu United merangkul gelaran Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua.

Kini sekali lagi "super-sub" ini menjadi harapan United bagi mengembalikan semula corak permainan kemas yang sentiasa dipamerkan sewaktu era Sir Alex Ferguson.

Malah, Solksjaer sendiri yang juga pernah di bawah kendalian Ferguson semestinya dapat mempelajari sesuatu daripada pengurus yang cukup berpengalaman itu.

Bekas pemain antarabangsa Norway ini bukan asing dalam mengendalikan pasukan Liga Perdana Inggeris kerana pernah mengendalikan Cardiff City pada 2014 walaupun kelab itu tersingkir ke saingan Championship musim berikutnya.

Ironinya tugas pertama Solksjaer bersama United ialah pertemuan menentang Cardiff, minggu ini dan semestinya tumpuan lebih hebat bakal diberikan untuk dia buktikan mengapa dia layak menerajui United.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen