Momota juara

Oleh Azlan Mubin 12 January 2020 3711
Momota juara
Kento Momota, pemain nombor satu dunia berjaya memulakan musim 2020 dengan cemerlang apabila muncul juara Masters Malaysia selepas menundukkan pemain dari Denmark, Viktor Axelsen.

Dalam aksi final, Viktor hanya memperoleh 33 mata selepas tunduk 22-24, 11-21 sekaligus menyaksikan kekalahan ke 14 ke atas Kento Momota dalam 16 rekod pertemuan manakala buat Momota, kejuaraan ini cukup manis baginya kerana memperoleh gelaran pertama di bumi Malaysia selepas pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah muncul naib juara Terbuka Malaysia 2018.

Melihat corak permainan yang ditampilkan sememangnya Momota berada pada kelas tersendiri. Mungkin kemenangan ini sudah dijangka jika berdasarkan ranking serta rekod pertemuan. Tetapi menang mudah di pentas final bukan yang diharapkan oleh seluruh peminat yang hadir memenuhi ruang Axiata Arena Bukit Jalil serta yang menyaksikan secara langsung di saluran Astro Arena.

Apa yang menariknya aksi pemain berusia 25 tahun yang berasal dari Mino Kagawa, Jepun ini adalah  ketenangan di dalam gelanggang. Walaupun kenyataan awal Momota bahawa kehadirannya di kejohanan ini tidak meletakkan harapan tinggi kerana keletihan selepas mengharungi musim 2019 yang padat. Tetapi apa yang ditampilkan seakan ia hanyalah perang psikologi. Beliau mampu mengawal emosi dan fokus walaupun ketika ketinggalan mata kepada lawan. 

Selain itu, corak serta gaya permainan yang ditampilkan Momota mempunyai seni atau perkataan lebih mudah ‘ada art’.

Kenapa saya katakan permainannya berseni? Kerana setiap tindakan yang mahu atau dilakukan oleh Momota tidak hanya bergantung kepada teknik serta kekuatan fizikal. Tetapi beliau bijak dalam setiap pergerakannya untuk menguasai lawan.

Jelas ketika berdepan Viktor, Momota sentiasa berjaya mematahkan serangan yang dilakukan pemain Denmark ini sekaligus memaksa lawannya beraksi dalam tertekan dan melakukan kesilapan. Ketika peluang sudah terhidang, barulah Momota akan bertindak dengan melakukan serangan-serangan balas dan mengubah corak permainan pantas untuk menambah tekanan kepada lawan dan ia terjadi di set kedua sehingga mudah tundukkan Viktor.

Malah apa yang ditampilkan Kento Momota, bagi saya beliau mempunyai ‘pakage’ lengkap untuk seorang juara.

Jadi adakah kejuaraan sulung 2020 di Masters Malaysia buat Momota, petanda awal bahawa beliau akan menguasai di pentas Olimpik Tokyo? Sama-sama kita nantikan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen