Lampard perlu waspada, Klopp tak sabar julang piala

Oleh Burn Thevandran 10 March 2020 20
Lampard perlu waspada, Klopp tak sabar julang piala
Kemenangan bergaya yang diraih Chelsea menumbangkan Everton dengan jaringan besar 4-0 merupakan motivasi terbaik buat skuad The Blues untuk terus mengejar kedudukan empat terbaik di liga.

Dalam perlawanan itu, Mason Mount, Pedro, Willian dan Olivier Giroud masing-masing meledakkan satu gol untuk memberi kelegaan kepada pengurus pasukan, Frank Lampard selepas hanya menang sekali dalam enam perlawanan liga.

Walaubagaimanapun, Lampard tidak mahu anak-anak buahnya leka dengan kemenangan ini kerana saingan liga masih berbaki sembilan perlawanan dan jurang mata pula tidaklah terlalu jauh di antara pasukan di tangga ke empat hingga ke sembilan. Tiada gunanya meraikan kemenangan ini dengan keterlaluan andai perlawanan seterusnya Chelsea gagal mengutip tiga mata.

Fokus seterusnya adalah mengutip kemenangan berdepan Aston Villa dan juga misi sukar berdepan Bayern Munich untuk perlawanan timbal balik. Pada perlawanan pertama, The Blues tumbang 3-0 di laman sendiri.

Berlainan pula ceritanya di kem The Reds, dimana mereka sudah berkira-kira mahu mengesahkan kejuaraan lebih awal, bahkan ianya mungkin terjadi hujung minggu ini andai pasukan di tangga kedua, Manchester City gagal mengutip sebarang mata. Liverpool harus berterima kasih kepada Manchester United yang memudahkan urusan mereka meraih kejuaraan selepas menumbangkan Manchester City 2-0 di Old Trafford.

Manchester City kini ketinggalan 25 mata kepada Liverpool, dan mereka sudah boleh melupakan hasrat mahu mempertahankan kejuaraan musim lalu atas faktor jurang mata yang terlalu jauh.

Andai kejuaraan liga menjadi milik The Reds, Jurgen Klopp bakal dijulang selaku individu penting kerana beliau merupakan pengurus pertama sejak 30 tahun lalu yang mampu menghadiahkan kejuaraan liga. Sebelum Kloop, seramai sembilan pengurus pasukan gagal membawa Liverpool ke puncak liga selaku juara. Antaranya Rafael Benitez, Kenny Dalglish,Gerard Houllier dan Roy Hodgson.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen