Kepulauan Solomon menang pingat pertama Sukan Komanwel

Oleh Thani Hasbullah 8 April 2018 1571
Kepulauan Solomon menang pingat pertama Sukan Komanwel
Kepulauan Solomon memenangi pingat Sukan Komanwel pertama mereka pada malam bersejarah di Gold Coast.

Atlet angkat berat, Jenly Wini, melakukan angkatan seberat 189kg untuk memastikan pingat gangsa dalam kategori wanita 58kg, semalam.

Atlet berusia 34 tahun itu, yang beraksi buat kali ketiga dalam temasya berkenaan, berkata bertanding dalam saingan merebut podium adalah sangat bermakna untuk diri dan negaranya.

"Saya sangat gembira mengenai ini. Ia adalah sejarah dan saya begitu berbangga memenangi pingat gangsa. Saya berasa sangat yakin dalam pertandingan hari ini. Saya tahu ia adalah sukar tetapi saya dapat memberikan yang terbaik. 

"Dalam setiap temasya sukan, saya mendapat keyakinan untuk meningkat, Jadi, saya belajar daripada kesilapan dalam setiap pertandingan," katanya.

Atlet tuan rumah, Tia-Clair Toomey, memenangi emas dengan jumlah angkatan seberat 201kg, 1kg mengatasi catatan beban angkatan Tali Darsigny dari Kanada.

Ia adalah satu-satunya pingat yang diperoleh Kepulauan Solomon selepas mereka menyertai sembilan Sukan Komanwel sejak temasya Brisbane 1982. 





Rangsangan besar untuk sukan di Kepulauan Solomon

Presiden Jawatankuasa Olimpik Kepulauan Solomon, Martin Rara, mengulas pingat gangsa yang dimenangi Wini itu adalah satu pencapaian besar yang berhak dimenanginya.

"Dia bebas daripada kecederaan dalam persiapannya ke Sukan Komanwel Gold Coast ini. Dia benar-benar melakukan yang terbaik dalam latihan dan apa yang dicapai pada hari ini adalah ganjaran yang baik untuk kerja kerasnya," katanya.

Rara juga menjangkakan pingat Sukan Komanwel pertama Kepulauan Solomon akan memberi manfaat kepada semua sukan di negara itu.

"Dari hari ini, angkat berat tidak lagi akan menjadi sukan minoriti. Sebelum pencapaian Wini ini, ia hanya dianggap sebagai sukan kecil tetapi ia bukanlah prospek pingat. Kerajaan Kepulauan Solomon akan mula melihat dan menumpukan semula tumpuan kepada sukan."

Kepulauan Solomon terletak di Oceania dan berada di timur Papua New Guinea.

Dengan keluasan sekitar 28,400 kilometer persegi, Kepulauan Solomon dianggarkan pada 2016 mempunyai rakyat seramai 599,419 orang.

Mereka mendapat kemerdekaan daripada United Kingdom pada 7 Julai 1978. 

Tahniah untuk Kepulauan Solomon.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen