Kane korbankan Spurs demi England

Oleh Burn Thevandran 11 January 2020 2392
Kane korbankan Spurs demi England
Penyerang utama sandaran Tottenham Hotspur, Harry Kane, disahkan akan menjalani pembedahan kaki kirinya atas faktor kecederaan. 

Perkara itu terjadi sewaktu perlawanan menentang Southampton di saat Kane mahu melakukan rembatan di mana beliau akhirnya terpaksa meninggalkan stadium menggunakan tongkat.

Kane perlu segera menjalani pembedahan dan dijangka akan kembali memulakan latihan pada bulan April. 

Pada waktu itu, saingan liga sudah semakin hampir ke penghujungnya dan Spurs harus bijak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kane andai mahu terus bersaing dalam liga. 

Buat masa ini, mereka masih memiliki pemain seperti Delle Alli, Son Heung-min dan Lucas Moura, namun pandangan peribadi penulis, Spurs perlu segera mendapatkan seorang lagi pemain untuk menguatkan jentera serangan kerana mereka kekurangan pemain ‘no 9’ selepas seorang lagi pemain, Fernando Llorente, meninggalkan Spurs kerana kurang minit permainan dan berhijrah ke Napoli manakala Christian Eriksen pula dikhabarkan mahu mencari angin baru bersama kelab lain.

Ini merupakan tamparan yang amat hebat buat pengendali Spurs, Jose Mourinho, yang hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir mereka. 

Tekanan pastinya memuncak apatah lagi mereka sekadar mencatatkan keputusan seri menentang pasukan divisyen dua, Middlesbrough, dalam Piala Carabao. 

Hujung minggu ini pula, Spurs akan berdepan pasukan yang belum pernah tewas dalam liga, Liverpool, dan peluang dilihat agak tipis buat Spurs untuk meraih tiga mata.

Buat Harry Kane, penulis melihat ini satu keputusan tepat dengan melakukan pembedahan segera agar sempat pulih dan kembali menjalani latihan sebelum berakhirnya liga dan sebelum bermulanya Euro 2020.

Pemain berusia 26 tahun ini pasti tidak rela andai pemain lain seperti Marcus Rashford, Tammy Abraham mahupun Callum Wilson merampas tempatnya di posisi penyerang, jadi  Kane terpaksa mengorbankan perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Spurs agar kembali cergas sepenuhnya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama bersama England dalam Euro 2020 yang dijangka bermula Jun nanti. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen