Gelaran Atlet Terbaik SAM 2018 mampu jadi milik Jijoe sekali lagi? 

Oleh Nur Amira Ibrahim 21 March 2019 44
Gelaran Atlet Terbaik SAM 2018 mampu jadi milik Jijoe sekali lagi? 
Jika anda masih ingat pada edisi terdahulu, jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang julang Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia, SAM 2017 sempena kejayaan merangkul gelaran juara dunia dua tahun lalu. 

Namun, pada edisi ini, kita dapat lihat pelumba yang berasal dari Terengganu ini bakal mendapat tentangan sengit daripada jagoan dunia lain terutamanya bintang tenpin bowling negara, Rafiq Ismail yang bergelar juara dunia tahun lalu. 

Tahun 2018 ibarat tahun kejayaan Rafiq apabila berjaya melangkah dengan positif untuk mengecapi pencapaian terbaik bukan sahaja di Kejohanan Tenpin Bowling Lelaki Dunia, malah turut meraih satu pingat emas dan perak di temasya Sukan Asia Indonesia juga. 

Adakah Rafiq cukup layak untuk merampas gelaran Atlet Terbaik SAM daripada genggaman “The Pocket Rocket Man” ?

Namun, kita tidak harus lupa pesilat negara Mohamad Hazim Amzad yang juga tidak mustahil mampu lakar kejutan walaupun namanya kurang mendapat perhatian sebelum ini sehinggalah dia berjaya raih gelaran juara dunia buat julung kali di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Singapura, tahun lalu.

Dua juara dunia ini pastinya akan menjadikan laluan berliku untuk Azizuhasni mempertahankan kemenangan selain ratu terjun negara Cheong Jun Hoong - Pandelela Rinong serta gimnas negara, Amy Kwan yang tidak ketinggalan turut tercalon. 

Atlet para negara juga bakal mendapat tumpuan sama apabila 4 atlet tercalon bagi Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik SAM yang mana Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi tepati jangkaan untuk dicalonkan. Calon baharu adalah daripada sukan powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin. 

Bukan itu sahaja, para penyokong turut akan terlibat dalam proses undian menerusi Anugerah Khas Penyokong 100Plus di mana seramai 15 calon disenarai pendek membabitkan atlet individu atau berpasukan. 

Undian boleh dilakukan di laman Facebook 100Plus di mana peminat sukan tanah air boleh mula mengundi bermula 25 Mac sehingga 7 April. 

Jadi, siapakah yang menjadi pilihan anda untuk dinobatkan Atlet Terbaik SAM 2018? 

Sama-sama kita nantikan keputusannya di majlis Anugerah SAM yang akan berlangsung pada 10 April depan. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen