Ferdinand akur kehebatan Liverpool

Oleh Burn Thevandran 6 February 2020 5098
Ferdinand akur kehebatan Liverpool
Bekas pemain pertahanan England dan Manchester United, Rio Ferdinand, akhirnya mengalah.

Selepas kemenangan demi kemenangan diraih, ditambah pula aksi baik yang konsisten di atas padang, Ferdinand akhirnya akur bahawa Liverpool adalah pasukan yang amat baik dan bakal mendominasi Liga Perdana Inggeris.

Kenyataan pemain lagenda Manchester United itu hadir selepas mengakui pasukan Liverpool sekarang bukan dibina dalam masa yang singkat. Jurgen Klopp mengambil masa hampir lima tahun untuk meletakkan Liverpool pada tahap yang amat tinggi selepas terlalu lama "tidur" dari menduduki kedudukan terbaik liga. Selaku bekas pemain, Ferdinand percaya ini semua adalah hasil ketelitian dan kebolehan pihak pengurusan mendapatkan jurulatih yang tepat serta pemain yang tepat.

Tidak dapat dinafikan lagi, musim ini adalah penamat kepada kemarau 30 tahun tidak menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris..The Reds kini berpeluang besar untuk menjulang kejuaraan liga  selepas meninggalkan pesaing di liga dengan jurang mata yang amat jauh. Peluang mereka di saingan Liga Juara Juara Eropah dan Piala FA juga masih terbuka. Ferdinand turut percaya skuad Liverpool akan mendominasi liga untuk suatu tempoh masa bersandarkan kepada kualiti pemain sedia ada dan amat sukar pasukan lain mahu mengejar mereka. Ferdinand tanpa berselindung menganggap The Reds kini ibarat satu fenomena.

Kenyataan jujur ini sebenarnya merupakan tamparan hebat buat United. Masakan tidak, jurang kualiti United dan Liverpool memang jauh ketara. Ini kerana disaat Manchester United masih terkial-kial mencari rentak kemenangan konsisten, masih tercari-cari slot ke Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool sudah mula berkira-kira mahu menjulang piala.

Malah, kemasukan pemain seperti Odion Ighalo yang merupakan pembelian panik juga dikritik Ferdinand. Beliau menganggap United sepatutnya mendapatkan pemain yang lebih baik seperti penyerang Southampton, Danny Ings.

Pertahanan termahal dunia, Harry Maguire yang bermain di posisi sama seperti Ferdinand turut dilemparkan kritikan kerana tidak cukup bagus. Ferdinand beranggapan Harry Maguire selaku ketua pasukan untuk Manchester United harus mampu memimpin pasukan dan beraksi baik di atas padang dalam semua perlawanan, bukan sekejap naik sekejap turun.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen