Dalam tangis ada tawa

Oleh Azizan Hashim 1 August 2019 13067
Dalam tangis ada tawa
Oleh Azizan Hashim

Selepas dua musim bergelumang dalam kancah Liga Super, PKNP FC akhirnya gagal bertahan dalam liga elit itu untuk musim 2020. 


Inilah tahun keramat yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagi mencapai wawasan negara maju, sekali gus meletak Malaysia di mercu kegemilangan dan kejayaan.

Malangnya pasukan konglomerat yang dipimpin Abu Bakar Fadzim itu terpaksa menelan kepahitan mundur selangkah ke belakang dengan beraksi dalam kancah Liga Perdana tahun depan.

Tanggal 21 Julai pasti detik paling memilukan buat Abu Bakar, rakan-rakan dan pemain PKNP FC apabila ditumpaskan oleh Petaling Jaya City FC 1-0 di gelanggang lawan. 

Pada masa sama, Felda United FC membelasah Kedah 5-1 untuk merampas kedudukan ke-10 bagi mengelak penyingkiran.

Justeru, PKNP FC yang mewarnai kancah Liga Malaysia sejak 2016 dengan melalui perit-jerih mengharungi Liga FAM, Liga Perdana dan Liga Super, akan beraksi dalam divisyen dua tahun depan.

Selama dua tahun dalam Liga Super, PKNP FC mempamerkan persembahan bersemangat serta semangat juang kental, cukup untuk menimbulkan gerun lawan ternama. 

Tanya Pahang dan Perak yang sering mengalami kesukaran setiap kali menentang pasukan kerdil ini.

Abu Bakar pastinya orang paling kecewa kerana segala usahanya membentuk pasukan selama enam tahun berakhir dengan kegagalan.

Namun, di sebalik kegagalan itu, jurulatih itu masih boleh berbangga dengan pencapaian skuad bimbingannya kerana dalam tempoh yang singkat serta tanpa kelibat pemain bintang, masih berjaya membentuk pasukan disegani.

Dengan bajet kecil, Abu Bakar dan bekas Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berusaha membentuk sebuah pasukan bola sepak untuk memberi saingan kepada 11 pencabar lain.

Lebih penting, tidak kedengaran masalah lewat membayar gaji dan bayaran bonus yang tertunggak dalam pasukan PKNP FC berbanding pasukan-pasukan lain kerana Zainol Fadzi memastikan bayaran dibuat mengikut tarikh dan janji.

PKNP FC boleh berbangga kerana berjaya  melahirkan pemain berbakat seperti Shahrel Fikri Md Fauzi dan Hafiz Ramdan yang  pernah mendapat panggilan ke skuad kebangsaan. 

Malah, Shahrel Fikri berjaya memikat hati kelab Thailand, Nakhon Ratchasima, untuk menyertai pasukan itu secara pinjaman selama lima bulan pada tahun 2018.

Justeru, segalanya bukan berakhir dengan pahit kerana di sebalik tangisan, masih ada bibit-bibit kejayaan serta masih ada sinar di hujung terowong buat Abu Bakar dan PKNP FC dalam kancah Piala Malaysia nanti..

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen