Barca tunjuk kesegeraan, dua gol Messi masuk melalui celah kaki Courtois

Oleh Thani Hasbullah 15 March 2018 1276
Barca tunjuk kesegeraan, dua gol Messi masuk melalui celah kaki Courtois
Lapan pasukan terbaik terdiri daripada tiga dari Sepanyol, dua Itali, dua England dan satu Jerman sudah mengesahkan slot suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Melihat kepada lapan pasukan itu -- Real Madrid, Liverpool, Juventus, Manchester City, Roma, Sevilla dan terbaru hari ini, Bayern Munich dan Barcelona -- hampir kesemuanya menepati ramalan ramai sebagai lapan skuad terbaik di Eropah, terutama Barca.

Selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama di Stamford Bridge, Barca seperti biasa menunjukkan kesegeraan untuk merumuskan saingan dengan menyumbat tiga gol tanpa balas, bermula seawal minit ketiga di Camp Nou.

Menyedari sebarang bolos boleh meletakkan mereka dalam situasi sukar dan membunuh harapan untuk mara, sepasang gol daripada Messi datang dari arah kiri dan kanan kedua-duanya masuk melalui celah kaki penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois. 

Jaringan pertama menerusi rembatan kaki kanan dari sudut tipis hasil permainan satu-dua dan seterusnya gol kedua peribadi dilakukan dengan kaki kiri menerusi larian solo dari luar kotak penalti. Messi turut membuat bantuan gol untuk dirembat kencang Ousmane Dembele selepas melarikan bola dari kawasan tengah.

Selain ketajaman Messi yang terlibat dalam ketiga-tiga gol itu, barisan pertahanan Barcelona yang kental, termasuk penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, yang banyak menyelamatkan percubaan tepat, semuanya kelihatan baik untuk membuktikan kesempurnaan barisan Ernesto Valverde -- mereka nyata lebih daripada berhak untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.



Sedikit berbeza dengan Bayern, mereka awal-awal lagi sudah menamatkan persaingan dan diramal mara ke suku akhir apabila membawa keputusan 5-0 untuk berkunjung ke Vodafone Arena berdepan Besiktas.

Bagaimanapun, Bayern tetap berjaya memburu tiga lagi gol untuk menoktahkan kemenangan dengan 3-1 ke atas kelab Turki itu.

Harus dijelaskan, Real Madrid masih sukar diramal boleh mencipta kejayaan hatrik memandangkan prestasi mereka kerap kali dipertikai sekalipun menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16.

Seterusnya, bagi Manchester United, tersingkir awal dalam Liga Juara-Juara bukan sesuatu yang baru buat mereka, seperti yang diakui jurulatihnya, Jose Mourinho.

Undian saingan sebenar kelab terbaik di Eropah bakal ditentukan, awal pagi esok, dengan lapan pasukan tersebut akan bertemu untuk memburu tempat dalam separuh akhir.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen