Barca mahu jual, tak mahu beli

Oleh Burn Thevandran 7 August 2019 26775
Barca mahu jual, tak mahu beli
Gergasi LaLiga, Barcelona, dilihat sedang dalam proses untuk melakukan penjualan beberapa pemain tonggak musim lalu sebelum tertutupnya jendela perpindahan pemain tidak lama lagi.

Pengendali The Catalan, Ernesto Valverde, dikhabarkan mahu mengguna pakai pemain yang baru dibeli, antaranya Frankie De Jong, Antoine Griezmann, Emerson, Junior Firpa dan Neto.

Sebagai contoh, kemasukan De Jong sekaligus menyaksikan pemain di bahagian tengah seperti Ivan Rakitic, Arturo Vidal dan Sergi Roberto, perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama selain mungkin terpaksa dilepaskan bagi mengurangkan kos perbelanjaan kelab itu.

Pemain antarabangsa Perancis, Griezmann, pula dilihat bakal menambah sengat kepada jentera serangan andai digandingkan bersama Lionel Messi dan Luiz Suarez, namun kedudukan seorang lagi pemain, Philippe Coutinho, akan menjadi tanda tanya.

Dalam masa sama, khabar angin yang mengatakan bahawa Neymar akan kembali semula ke Barcelona akhirnya terjawab apabila presiden kelab, Jordi Cardoner, mengesahkan bahawa mereka tidak akan menandatangani Neymar untuk jendela perpindahan musim ini.

Neymar dikhabarkan tidak gembira menjalani kehidupan di Paris, namun tiada apa yang mampu dilakukan oleh Barcelona. Ini kerana keadaan semasa di Barcelona dengan barisan pemain-pemain yang sudah mencukupi menyaksikan peluang Neymar untuk kembali ke Nou Camp dalam masa terdekat tidak akan menjadi kenyataan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen