Bagus sangat ke pemain EPL?

Oleh Burn Thevandran 30 January 2020 9167
Bagus sangat ke pemain EPL?
Pengurus pasukan Inter Milan, Antonio Conte, terus berusaha memperkuatkan pasukannya dengan membawa masuk pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Sebelum bermula saingan liga pada Ogos 2019 lalu, Conte berjaya membawa masuk dua pemain EPL iaitu Romero Lukaku dan Alexis Sanchez secara pinjaman.

Kini, dalam jendela perpindahan Januari, tiga lagi pemain yang pernah beraksi cemerlang dalam EPL, iaitu Ashley Young, Victor Moses dan terbaru, Christian Eriksen yang baru ditandatangani dari Tottenham Hotspur.

Bekas ketua pasukan United, Ashley Young, menolak tawaran kontrak lanjutan bersama United dan memilih untuk berhijrah ke Itali. Beliau hanya memerlukan 29 minit sahaja untuk melakukan bantuan gol dalam penampilan pertamanya bersama Inter Milan.

Bagi pemain antarabangsa Nigeria, Victor Moses, beliau yang sebelum ini menempa nama bersama Chelsea dilihat kerap berhijrah secara pinjaman dan terbaru, beliau memilih pasukan Inter Milan. Sejak menyertai Chelsea, beliau kerap dipinjamkan, antaranya ke Stoke City, West Ham United dan Fenerbache.

Terbaru, pemain antarbangsa Denmark, Christian Eriksen, akhirnya meninggalkan Tottenham Hotspur selepas 226 penampilan. Teka teki ke manakah pasukan pilihan Eriksen akhirnya terjawab apabila mengikat kontrak empat tahun setengah dengan bayaran EUR10 juta setahun.

Kemasukan tiga pemain berpengalaman ini dilihat akan menjadi tambah nilai yang amat baik buat skuad Inter Milan. Mereka kini berada di tangga kedua Serie A di belakang pendahulu liga, Juventus. Mereka hanya dibezakan dengan tiga mata dan berpeluang memintas lawan mereka itu andai mampu menewaskan mereka aksi liga pada Mac depan.

Inter Milan yang beraksi dalam saingan Liga Europa musim ini dilihat sedang mempersiapkan pasukan bagi saingan musim hadapan. 

Penulis berasakan skuad Antonio Conte itu sedang dalam fasa pemulihan selepas kejatuhan prestasi teruk beberapa musim lepas. 

Andai khidmat Conte diteruskan dan ramai pemain tonggak kekal, Inter Milan akan menjadi salah satu pencabar utama bukan sahaja untuk Serie A, tetapi juga untuk saingan Liga Juara Juara Eropah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen