Artikel sinis tentang Liverpool

Oleh Suzana Basri 15 January 2020 1975
Artikel sinis tentang Liverpool
Satu artikel pernah diterbitkan thesun.co.uk pada 2016 mengenai pencarian tertinggi di Google dan mengisi tangga teratas adalah soalan tentang berapa kali Liverpool pernah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Sebelum penulis, Dan Pellegrini membuat rumusan yang Liverpool sekadar berpotensi sebagai pencabar ketika kejuaraan musim 2016/ 2017 itu tampak memihak Manchester City yang akhirnya perlu menanti semusim lagi untuk merekod kejayaan ketiga mereka, para pembaca diingatkan yang kali terakhir penyokong The Reds meraikan kejayaan pasukan di saingan inggeris adalah pada tahun 1990, ketika gelaran Liga Perdana Inggeris belum diguna pakai.

Ketika itu Britain dipimpin perdana menteri wanita, Margaret Thatcher yang menamatkan perkhidmatan 11 tahunnya pada tahun yang sama dan kemunculan Mr Bean di kaca tv, watak pelik seorang lelaki inggeris yang kemudiannya menjadi fenomena seluruh dunia di sebalik lambakan komedi bersiri yang dimonopoli produksi Amerika Syarikat.

Liverpool pula bukan pasukan sembarangan berdasarkan reputasi hebat menerusi 18 kejuaraan di pentas seumpamanya di mana kejayaan terakhir mereka yang direkodkan tahun itu dipacu oleh kebijaksanaan pengurus, Kenny Dalglish dan kecemerlangan pemain sayap, John Barnes yang menyumbang 28 gol sepanjang kempen berlangsung.

Namun peralihan kepada era bola sepak yang lebih moden selepas itu telah menggelamkan kehebatan The Reds dek penangan luar biasa seteru sejak dahulu, Manchester United dibawah kendalian Sir Alex Ferguson sehingga dalam tidak sedar telah mengumpul 13 kejuaraan sejak 1992.

Kini, badi peralihan mungkin sedang dialami The Red Devils yang masih tercari-cari keserasian bersama pengurus hebat dengan Ole Gunnar Solskjaer, sekurang-kurangnya mampu menghentikan rekod kemenangan Liverpool musim ini dengan keputusan seri.

Dalam masa sama, selepas lebih tiga tahun artikel yang mendapat senyuman sinis daripada pihak musuh dipapar, dibaca dan dikongsi ratusan ribu kali di alam siber, Liverpool semakin hampir untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan dengan meninggalkan pencabar, Manchester City, yang mengharapkan kejuaraan hatrik dan Leicester City yang kembali mengejutkan sejak kejuaraan musim 2015/ 2016 dengan perbezaan 14 dan 16 mata dari puncak liga ketika baru menjalani 21 perlawanan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen