56 emas, 57 perak, 71 gangsa.. Salah siapa?

Oleh Azlan Mubin 12 December 2019 1658
56 emas, 57 perak, 71 gangsa.. Salah siapa?
Sukan Sea 2019 telah melabuhkan tirainya di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina semalam selepas hampir dua minggu berlangsung.

Perjuangan kontinjen Malaysia berakhir dengan 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa, sekali gus berada di tangga kelima keseluruhan.

Penulisan ini bukannya mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan mempertikaikan pencapaian kontinjen selepas gagal mencapai sasaran 70 pingat emas untuk berada di kedudukan keempat terbaik tetapi inilah realiti perjuangan dan secara tidak langsung, ia telah menjadi perbualan hangat di kalangan pemerhati, pengkritik mahupun peminat sukan tanah air.

Siapa yang perlu dipersalahkan dan perlu dipertanggungjawabkan? Ketika sidang media oleh Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, telah memohon maaf berserta penjelasan terhadap kegagalan kontinjen.

Malah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shafawi Ismail, turut mengakui serta bertanggungjawab di atas prestasi keseluruhan kontinjen kali ini.

Berbalik kepada persoalan di atas, pandangan saya, tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak termasuk badan sukan serta atlet. 

Atlet yang berjaya menghadirkan pingat emas, perak mahupun gangsa serta yang mencapai sasaran pastinya gembira manakala yang gagal akan lebih berduka lebih-lebih lagi apabila terus dikritik.

Saya sangat memahami apa yang dirasakan oleh atlet, seolah-olah perjuagan mereka tidak di hargai. Tiada seorang pun atlet di dunia mahukan kegagalan, malah perkara paling manis tatkala memperoleh kejayaan ataupun kemenangan.

Tetapi inilah realiti yang perlu ditelan oleh atlet. Saya mengharapkan atlet negara mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kontinjen negara dalam temasya edisi ke-30 kali itu sebagai perkara positif.

Anggap kritikan sebagai lonjakan semangat untuk terus membuktikan kemampuan. Mungkin usaha kali ini belum cukup menewaskan lawan dan apa yang paling penting ialah perlu terus positif. 

Jika atlet menganggap situasi ini sebagai bebanan, ia akan membunuh karier di usia muda.
Jadi, sekali lagi, saya menyeru semua atlet agar bermuhasabah diri dengan apa yang telah berlaku dan bina semula keyakinan untuk bangkit dengan kejayaan lebih gemilang dalam temasya akan datang. 
Vietnam, doi chung toi den. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen