2021 masa Hazard menyinar

Oleh Burn Thevandran 28 March 2020 91
2021 masa Hazard menyinar
Penyerang antarabangsa Belgium, Eden Hazard, yang melalui satu musim penuh kesenduan bersama Real Madrid, percaya tahun depan 2021 adalah masa paling sesuai untuk kualiti dirinya dinilai oleh pengkritik bola sepak. Musim pertama bersama Los Blancos dilihat lebih kepada masa penyesuaian selepas hampir sedekad (tujuh musim) berkelana di Stamford Bridge.

Melalui musim penuh cemerlang bersama The Blues, bekas ketua pasukan Chelsea itu pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris dua kali, Liga Europa dua kali dan Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA. Hazard yang beraksi hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, bagaimanapun, gagal menyesuaikan diri dengan aksi dalam La Liga. Beliau hanya menjaringkan satu gol dan beraksi 10 kali selepas dihantui masalah kecederaan buku lali yang berulang-ulang. Kecederaan itu memaksa Hazard menjalani pembedahan dan terpaksa berehat panjang. Bagaimanapun, Hazard dijangka sempat pulih sebelum bermulanya kejohanan Euro 2020 yang kini ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Pemain berusia 29 tahun itu diharapkan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Juventus. Tidak dapat dinafikan selepas pemergian Ronaldo, Real Madrid sedikit bergelut bukan sahaja dalam La Liga, malah dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Akan tetapi, kekosongan yang ditinggalkan masih dirasai kerana barisan serangan Real Madrid seperti hilang arah. Biarpun pemain-pemain lama seperti Karim Benzema, Gareth Bale masih ada, ditambah kemasukan muka baru seperti Luka Jovic, Brahim Diaz, Vinicius Junior dan Hazard sendiri, barisan serangan Los Blancos tidak setajam dulu apabila sering bergelut untuk mencetak jaringan gol.

Kemasukan Hazard sebenarnya bukanlah pada waktu yang tepat kerana sebelum itu, Real Madrid sedang bergolak selepas krisis pertukaran jurulatih memberikan kesan kepada prestasi Real Madrid. Los Blancos menukar jurulatih beberapa kali pada 2018, selepas mengharungi kesuraman pada awal liga sebelum memanggil semula Zinedine Zidane. Kembalinya Zidane secara tidak langsung mengubah landskap dan corak permainan jurulatih terdahulu kerana setiap jurulatih mempunyai pemain pilihan mereka sendiri.

Rakan baik Hazard, Thibout Courtois,  seorang lagi pemain antarabangsa Belgium yang menyertai Real Madrid dari Chelsea, juga bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama. Beliau kerap memanaskan bangku simpanan  dibawah kendalian Zinadine Zidane dan hanya berada dalam kesebelasan utama selepas pemergian Keylor Navas ke PSG.

Hazard dah janji tahun 2021, beliau akan kembali dengan prestasi mengagumkan bersama Real Madrid, jadi sama-sama kita nantikan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen