Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menjuarai saingan Terbuka Taiwan semalam tetapi dia menegaskan ini bukan waktu untuk meraikan kejayaan memenangi gelaran senior sulungnya.

Zii Jia disifatkan sebagai pemain yang memiliki keupayaan untuk meneruskan legasi skuad perseorangan lelaki kebangsaan.

Situasi itu dibuktikan bukan sahaja dengan kemenangan di pentas final tetapi lebih penting, dalam separuh akhir.

Sebelum ke final, dia menyingkirkan wakil tuan rumah yang menduduki tangga keempat ranking dunia serta muncul pilihan pertama kejohanan, Chou Tien Chen, dalam aksi tiga set sambil kerahan kudrat yang sama turut diperlukan untuk menewaskan Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11 di pentas akhir.

"Saya berasa gembira meraih kejuaraan itu. Saya tidak cukup rehat kerana beraksi tiga set dalam perlawanan sebelumnya. Dia juga melalui situasi yang sama," kata Zii Jia berkenaan kemenangannya.

Zii Jia mengakui pendekatan untuk tidak terlalu teruja dengan kejayaan yang diraih adalah atas kesedaran bahawa itu belum memadai untuk dia menutup mulut pengkritik.

Kejayaan Zii Jia di Taiwan itu menamatkan kemarau 14 tahun gelaran perseorangan lelaki Malaysia dalam kejohanan itu sejak Datuk Lee Chong Wei kali terakhir memenanginya pada 2004

"Saya gembira menamatkan kemarau ini tetapi ini bukan masa untuk meraikannya. Saya mahu kekal rendah diri dan fokus kepada latihan yang diberikan dan mengekalkan prestasi ini," tambahnya.