Pemain perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia, terpaksa melupakan baki saingan tahun ini gara-gara mengambil risiko beraksi dengan kecederaan dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia, minggu lalu.

Pemain kelahiran Alor Setar itu memudaratkan kecederaan otot lutut kanannya selepas beraksi di Pasir Gudang, Johor, dengan pilihan yang ada sekarang adalah menjalani pemulihan.

"Mungkin saya akan mengambil masa dua minggu untuk pulih. Saya tidak fikir (dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia), kalau menang, menanglah. Tak sangka juga masih boleh pergi ke suku akhir.

"Jadi, sebab itu kecederaan makin serius. Lain kali, saya perlu jaga dan tidak boleh memberi tekanan. Kecederaan ini sukar nak cakap, kalau ia makin serius sukar untuk pulih," katanya.

Sudah pasti kekecewaan terlepas kejohanan terakhir musim ini, Grand Prix Emas Masters Korea, berupaya memberikan impak besar dalam peluangnya untuk berada dalam perancangan skuad perseorangan negara ke Piala Thomas.

"Ia (Piala Thomas) adalah kejohanan besar untuk saya dan ia juga untuk ranking saya. Tetapi kalau saya tidak cergas, saya akan sedia menarik diri," tambahnya.