Persaingan pemain muda dalam perseorangan lelaki bertambah sengit ketika finalis Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2017, Leong Jun Hao, dikhabarkan akan diserapkan ke skuad senior tidak lama lagi.

Jun Hao dipandang selaku aset masa depan perseorangan lelaki susulan kejayaan ke final kejohanan itu di samping bakal menamatkan musim ini sebagai juara remaja Asia.

Senario ini pasti meletakkan tekanan ke atas pemain muda dalam skuad senior seperti Lee Zii Jia yang sentiasa dilabel sebagai antara pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Pemain tinggi lampai itu menegaskan bahawa dia berbangga dengan pencapaian rakan sepasukannya itu tetapi yang lebih penting buatnya adalah persaingan dalam skuad senior.

"Saya ada rasa tergugat sebab dia sudah hampir menjadi juara. Sayang kalau tidak menjadi juara. Kami pun sudah menyertai skuad senior, kalau ada keputusan yang baik di peringkat junior, keyakinannya lebih bagus.

"Bukan saya seorang, saya mengharapkan dia juga berjaya di peringkat senior," kata Zi Jia.

Zii Jia memastikan kedudukan rankingnya sebagai kedua terbaik dalam skuad kebangsaan selepas Chong Wei menerusi keputusan memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Tiga kejohanan terakhir bertaraf Cabaran Antarabangsa bulan lalu menyaksikan Zii Jia menjuarai Terbuka Republik Czech dan layak ke separuh akhir Terbuka Poland

"Saya rasa puas hati tetapi masih ada banyak ruang lagi yang perlu saya belajar. Saya harap tahun depan mungkin ada sasaran yang baru, mungkin saya mahu berada dalam ranking 20 hingga 30 dunia ," katanya.