Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, optimis kembali bangkit dalam Kejohanan Terbuka China di Fuzhou dari 5 hingga 10 November ini walaupun ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan pertama Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis baru-baru ini.

Prestasi Zii Jia disifatkan mendatar tanpa sebarang peningkatan ketara selepas beberapa kejohanan yang disertainya.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami dua kekalahan pusingan pertama dalam Terbuka Denmark kepada perseorangan China, Chen Long, 18-21, 21-15, 16-21 dan dalam Terbuka Perancis berdepan perseorangan Indonesia, Anthony Ginting, 16-21, 8-21.

Bagaimanapun, semangat Zii Jia masih berkobar-kobar untuk melakukan kejutan meskipun menghadapi laluan sukar dalam Kejohanan Terbuka China nanti.

"Kami tidak memiliki cukup masa untuk membuat persiapan dan berharap tempoh seminggu ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menampilkan aksi yang lebih cemerlang di Fuzhou nanti," katanya.

Zii Jia bakal berdepan pemain Singapura, Loh Kean Yew, dalam pusingan pertama, namun cabaran sebenar menunggunya jika melayakkan diri ke pusingan kedua apabila sama ada pemain nombor satu dunia, Kento Momota, atau jaguh India, Srikant Kidambhi, menantinya.