Zii Jia sudah mula berlatih tapi masih celaru dengan perancangan BWF

Oleh Muzaffar Musa 31 Ogos 2020 151
Zii Jia sudah mula berlatih tapi masih celaru dengan perancangan BWF
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut membawa perkhabaran gembira buat kem badminton negara apabila perseorangan lelaki nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia, dilaporkan sudah kembali ke gelanggang latihan.

Ketika keadaan fizikalnya semakin pulih daripada kecederaan belakang, kondisi mental Zii Jia, bagaimanapun, berkecamuk dengan perancangan tidak menentu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam menganjurkan kejohanan ketika dunia masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19.

Zii Jia mengalami kecederaan belakang dalam Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 13 Ogos lalu dan perlu segera pulih sepenuhnya bagi memperkuatkan skuad negara dalam Kejohanan Piala Thomas di Aarhus, Denmark, Oktober depan.

"Hari ini merupakan hari pertama saya kembali menjalani latihan secara normal dan saya rasa kuantiti latihan akan bertambah sedikit demi sedikit.

"Saya harap dapat segera mendapatkan kembali suasana permainan.

"Kecederaan saya kini sudah jauh lebih baik daripada sebelum ini.

"Ia sudah pulih sekitar 80 hingga 90 peratus," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.


Bagaimanapun, penstrukturan semula kalendar BWF musim ini menyaksikan kesemua kejohanan selain Piala Thomas dan Uber dibatalkan dan digantikan dengan dua kejohanan bertaraf Super 750 di Odense, Denmark selepas tamat perebutan trofi berpasukan itu.

Selepas dua kejohanan di Eropah itu, pemain hanya diperuntukkan waktu rehat selama dua minggu sebelum tiga kejohanan di benua Asia bertaraf Super 1000 dilangsungkan.

Selaku pemain terbaik negara, Zii Jia layak beraksi dalam kesemua kejohanan itu tetapi ia menimbulkan persoalan sama ada BWF masih meletakkan kepentingan pemain sebagai keutamaan susulan pendekatan yang diambil itu.

"(Perancangan jurulatih) bukan hanya untuk Piala Thomas tetapi termasuk dua kejohanan lain (di Denmark).

"Bagi saya, pemain yang terpilih untuk ke Denmark perlu pergi dengan 100 peratus (yakin).

"Jangan 50-50 dan berasa takut kerana ia akan membuatkan tidak boleh fokus.

"Itu yang saya boleh beritahu kerana jika kita tidak 100 peratus (yakin), ia akan banyak menganggu, mungkin kerana takut (jangkitan) COVID-19.

"Jadi, saya perlu yakin bahawa BWF akan menjamin kesihatan kami. Itulah perkara paling penting buat saya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen