Pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia, seteru dalam pembikinan menjadi terbaik dunia menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, menurut bekas juara dunia perseorangan lelaki, Viktor Axelsen.

Axelsen turut berkongsikan bahawa Denmark juga sedia mencabar dan menganjurkan saingan Piala Thomas, Oktober ini selepas terbit perkhabaran ia ditangguh buat kali ketiga.

"Apabila tibanya September atau Oktober, saya berharap semua pasukan dapat keluar negara bagi menyertai kejohanan dan menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas. Saya teruja untuk menghadapi saingan tersebut dan berharap untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam saingan tersebut," kata Axelsen.

Kali terkahir badminton Malaysia berkait rapat dengan Axelsen adalah 14 Mac lalu.

Bintang Denmark itu menyingkirkan Zii Jia dalam pertembungan epik dalam perlawanan separuh akhir Seluruh England sebelum unggul di final.



"Bagi saya, ia merupakan satu perlawanan yang sentiasa akan diingati dan Zii Jia merupakan seorang pemain yang semakin meningkat naik," tambah Axelsen menerusi temubual bersama wartawan Nadi Arena, Ahmed Shahrazad Sani.

Ditanyakan sama ada Zii Jia mampu menjadi seteru utamanya pada masa akan datang seperti ikon badminton sebelum ini seperti Lee Chong Wei dan Lin Dan, Axelsen berkata "Saya berasakan Zii jia berada di landasan terbaik untuk menjadi seorang pemain bertaraf dunia, pengalaman saya beraksi berdepan legenda seperti Chong Wei dan Lin Dan merupakan satu detik yang mengagumkan dan saya sangat berbangga menyaksikan mereka turun beraksi di gelanggang."

Bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj turut berkongsikan pandangan terhadap Zii Jia dengan berkata, "Semestinya era Chong Wei sudah berakhir dan saya tidak gemar dengan 'kita perlu mencari pengganti Chong Wei', ini adalah Lee Zii Jia yang baru.

"Ketika ini, tidak dinafikan Kento Momota merupakan pemain terbaik dunia tetapi pemain-pemain lain juga turut hampir berada di tahap yang sama. Saya berasakan ini kita sedang berada di era baru dan menyaksikan peningkatan pemain-pemain baru.

"Saya amat yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh Zii Jia. Saya berharap dia dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi dan memberikan saingan kepada barisan lima pemain terbaik dunia. Segalanya terletak di tangan pemain itu untuk menyediakan diri daripada segi fizikal dan mental untuk cemerlang di pentas antarabangsa."