Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran antarabangsa pertamanya musim ini selepas mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei, hari ini.

Pemain ranking ke-60 dunia itu menampilkan aksi cemerlang apabila mengejutkan pilihan utama yang juga pemain nombor empat dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan, 17-21, 21-14, 24-22 dalam separuh akhir selama 80 minit di Taipei Arena, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.befbadminton.com.

Zii Jia akan berdepan pemain muda Jepun, Riichi Takeshita , dalam aksi final, esok.

Pemain bukan pilihan dari Jepun itu mara ke final selepas mencipta kejutan menewaskan bekas pemain nombor dua dunia yang juga pilihan kelima, Jan O Jorgensen dari Denmark, 21-17, 16-21, 26-24 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Zii Jia merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang meneruskan cabaran dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$500,000 (RM2.073 juta) itu setelah dua lagi wakil negara tumpas kepada lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su Ya, yang juga pilihan ketujuh, tumpas 16-21, 19-21 kepada pilihan utama, Tai Tzu Ying dari Taiwan, sementara pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, yang juga pilihan ketiga, mengalami kekalahan mengejut 21-12, 18-21, 12-21 kepada gandingan kurang ternama dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Wu Ti Jung.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita berakhir di peringkat suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu, semalam.

-- BERNAMA