"Bukan masalah jurulatih," kata pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang digembar-gemburkan sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei, sambil merayu supaya diberikan lebih masa untuk bersama Hendrawan walaupun prestasinya dianggap mendatar di bawah seliaan jurulatih dari Indonesia itu.

Kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) hanya berbaki empat kejohanan utama sebelum Sukan SEA Filipina membuka tirainya hujung bulan depan.

Harapan skuad kebangsaan untuk menghadirkan kilauan pingat emas di Filipina kelihatan pudar berikutan kemarau kejuaraan utama di peringkat antarabangsa sepanjang tahun ini.

Ia disulitkan lagi dengan prestasi Zii Jia, yang kelihatan hampir tiada peningkatan di bawah bimbingan Hendrawan sejak Julai lalu.

Namun, semangat pemain berusia 21 tahun itu tetap berkobar-kobar untuk meningkat di bawah kendalian jurulatih berkenaan dan merayu untuk diberikan lebih masa bagi membuktikan peningkatan.

"Saya tidak banyak berlatih bersama jurulatih Hendrawan kerana tahun ini memang banyak kejohanan.

"Jadi, dia tiada masa untuk menukar (corak) permainan saya.

"Dia hanya berkongsi pengalaman dan taktikalnya dengan saya.

"Memang keputusan saya dalam dua kejohanan terakhir tidak begitu baik," katanya.

Zii Jia kini fokus untuk bangkit dalam Kejohanan Badminton Terbuka China di Fuzhou bermula 5 November ini.

"Kami tidak cukup masa untuk melakukan persediaan.

"Harap-harap dalam masa seminggu ini, saya dapat berehat seketika sebab saya baru pulang dari Eropah dan masih dalam pemulihan.

"Saya masih tidak dapat melakukan banyak latihan.

"Saya hanya dapat melapangkan fikiran dan melakukan beberapa pelarasan.

"Harap-harap akan ada keputusan yang baik di China," tambahnya.