"Saya berada di tahap ini kerana Misbun," kata pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang seperti kehilangan "bapa" apabila Datuk Misbun Sidek diberikan tanggungjawab baru sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk merombak barisan kejurulatihan skuad negara dan Misbun diberikan peranan baru dalam skuad pembangunan.

Ia menyaksikan legenda badminton negara itu akan meninggalkan skuad perseorangan lelaki, yang kembali dikendalikannya sejak Julai 2017.

Bagaimanapun, hubungannya dengan Zii Jia tidak akan terjejas kerana anak buahnya itu akan tetap menjadikannya sebagai rujukan jika menghadapi sebarang masalah di dalam gelanggang.

"Saya percaya jika memerlukan pertolongan pada masa depan, saya akan tetap mencari jurulatih Misbun.

"Dan saya percaya dia juga pasti akan sentiasa berada di belakang saya.

"Jika ada sebarang persoalan, dia pasti akan membantu saya," katanya.

Sepanjang berada di bawah seliaan Misbun, pemain kelahiran Kedah itu bukan sahaja meraih beberapa kejuaraan di peringkat antarabangsa, malah turut menempatkan diri dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia.

"Yang pertama, saya mahu berterima kasih kepada Datuk Misbun kerana sudah mengajar saya sepanjang tiga tahun ini.

"Sejak dia hadir dalam skuad kebangsaan, prestasi saya banyak meningkat.

"Hari ini, saya menduduki tangga ke-14 dunia dan saya tidak mungkin berada di tahap ini tanpa pertolongannya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa