Zii Jia dalam laluan berliku buru kelayakan Sukan Olimpik

Oleh Staff Writer 21 November 2018 505
Zii Jia dalam laluan berliku buru kelayakan Sukan Olimpik
Di sebalik keterujaan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, memburu penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, dia sedar laluan berliku yang bakal dilaluinya bukan sahaja dalam meningkatkan ranking tetapi juga terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain perseorangan profesional.

Skuad perseorangan lelaki negara bakal berdepan cabaran sukar untuk memastikan wakil ke temasya sukan terbesar itu.

Tanpa mengambil kira status Datuk Lee Chong Wei yang masih dalam rawatan pemulihan daripada kanser hidung, hanya Zii Jia pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mempunyai harapan walaupun rankingnya kini di tangga ke-58 dunia.

Dia juga perlu bersaing dengan dua lagi pemain profesional negara, Liew Daren (ranking ke-24) dan Chong Wei Feng (ranking ke-41). 

Kelayakan Sukan Olimpik akan bermula pada Mei 2019 dan hanya 16 pemain terbaik akan layak beraksi di Tokyo. 

"Ramai menyasarkan untuk saya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun saya hanya mahu menumpukan kepada latihan saya.

"Saya mahu betul-betul bersedia sebelum ke temasya itu nanti," katanya.

Zii Jia sedar dia kini memikul bebanan berat apabila ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, banyak memberikan tumpuan kepadanya dalam memastikan impiannya ke Sukan Olimpik terlaksana.

Dia akan kembali beraksi dalam Masters Korea, minggu depan, selepas berehat ekoran kecederaan belakang sebelum ini.

"Saya sudah terbiasa memikul bebanan yang besar.

"Saya berharap dapat mempersiapkan diri sepenuhnya menjelang tahun depan memandangkan pelbagai kejohanan menanti dalam tahun itu yang mampu meningkatkan ranking dunia saya," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen