Pemain beregu lelaki kebangsaan, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, yang beraksi bersama juara bertahan SS Purple League (SSPL), Kelab Badminton (BC) Puchong United, beraksi baik untuk membantu pasukan itu mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-5 di Gem In Mall, hari ini.

Kemenangan itu adalah yang kedua setelah Puchong United BC mengatasi Tebrau City BC 13-8 dalam aksi pertama mereka semalam.

Goh Giap Chin yang terlebih dahulu turun dalam acara perseorangan lelaki memulakan aksi dengan menghadiahkan pungutan mata buat pasukan Puchong United BC apabila dia cemerlang menewaskan pemain BMASBC dari Thailand, Piyawaraporn Supakorn, 3-1 (11-3, 7-11, 11-9, 11-9).

Dalam acara perseorangan wanita, Ho Yen Mei terus menyumbangkan mata buat Puchong United selepas dia mengatasi Kong Yi Jin 3-2 (8-11 11-4 3-11 11-7 11-4). Kemenangan itu membolehkan Puchong United mendahului BMASBC dengan mata kemenangan 6-3 tatkala acara beregu lelaki selepas itu menyaksikan Yew Sin dan Ee Yi terus menambah mata menjadi 9-3 buat Puchong United BC apabila mereka menang 3-0 (11-9 11-4 11-5) ke atas gandingan BMASBC, Chua Yue Chern-Roobenraj Velayutham.

Mengulas mengenai aksi mereka hari ini, Ee Yi berkata: “Dalam aksi tadi, tentangan hebat juga yang diberikan oleh pemain lawan kami yang juga merupakan pemain junior kebangsaan. Mereka berani dan bermain dengan baik. Kami juga ada melakukan kesilapan tadi, apapun kami berjaya menang.”

“Tahun ini saya, Yew Sin dan rakan-rakan dalam Puchong United tetap mahu memberikan yang terbaik. Kami tahu terdapat cabaran getir dari pasukan seperti Ampang Jaya BC tapi saya optimis dengan kemampuan kami di Puchong United untuk mempertahankan kejuaraan."

Selepas itu, rentak kemenangan diteruskan lagi oleh pasangan beregu campuran Puchong United BC, Lim Khim Wah-Ng Tsz Yau, yang juga menang 3-1 (11-8 11-10 6-11 11-4) ke atas Agrippina Prima Rahmanto-Tiara Rosalia Nuraidah. Kemenangan itu menjarakkan lagi kutipan mata Puchong United BC kepada 12-4 mendahului BMASBC.

Dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu melengkapkan kemenangan bergaya 15-5 Puchong United dalam saingan SSPL musim ini setelah menjinakkan pemain BMASBC dari Perancis, Lucas Corvee 3-1 (7-11 11-8 11-8 11-9).