Selepas mengharungi empat kejohanan elit, Ong Yew Sin masih belum menawarkan petanda bahawa dia dan Tan Wee Kiong adalah beregu lelaki terbaik negara pada masa akan datang.

Yew Sin-Wee Kiong beraksi dalam tiga kejohanan bertaraf Siri Super dan satu Grand Prix (GP) Emas sejak digandingkan pada hujung September lalu.

Meskipun tidak menghadirkan kejutan seperti yang diidamkan, setidak-tidaknya mereka konsisten.

Penanda aras mereka setakat ini adalah dua pencapaian ke suku akhir dalam GP Emas Terbuka Jerman dan Siri Super Terbuka Hong Kong, baru-baru ini.

"Kami masih kekurangan dari segi taktik untuk meraih mata selain perlu memperbaiki beberapa kekurangan lagi," kata Yew Sin.

Atas perkongsian itu, Yew Sin akur memerlukan pendekatan realistik ke atas sasaran yang diberikan.

Masa juga akan menjadi elemen dalam menentukan sama ada dia dan Wee Kiong akan menjadi beregu utama negara atau sebaliknya.

"Kami masih belum serasi dalam dua kejohanan awal. Selepas itu, kami mula menunjukkan peningkatan dan saya menganggap prestasi kami pada tahun ini masih lagi bagus," tambahnya.