Dua pemain perseorangan negara, Chong Yee Han dan Tan Jia Wei, dipilih untuk mengiringi skuad badminton negara ke Kejohanan Dunia di Glasgow dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Tugas utama mereka nanti adalah menjadi rakan sepelatih kepada pemain nombor satu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei.

Jia Wei, yang baru berusia 19 tahun, tidak menduga dipilih oleh jurulatih, Datuk Misbun Sidek, dalam usaha mempersiapkan Chong Wei bagi misi muncul juara dunia.

Buat Yee Han pula, ini merupakan kali kedua dia terpilih menjadi rakan sepelatih selepas kempen Malaysia ketika Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou, China.

"Saya gembira sebab dapat pergi. Dia yang suruh saya pergi dan saya terkejut terpilih untuk ke sana," kata Jia Wei.

Sementara itu, Yee Han berkata: "Saya dapat pergi dan menjadi rakan sepelatih. Memang bagus kerana di sana saya boleh belajar banyak. Di sana, saya perlu lakukan tugas saya membantu Chong Wei."

Selain menjadikan Yee Han dan Jia Wei sebagai rakan sepelatih kepada Chong Wei, ada sesuatu yang Misbun ingin berikan ilmu kepada kedua-dua pemain ini dalam membentuk mereka menjadi pemain berkelas dunia.

"Rakan sepelatih yang kami akan bawa adalah rakan sepelatih yang biasa dengannya (Chong Wei). Mereka biasa dengan badan Chong Wei, apa kehendak Chong Wei dalam latihan, apa pemberian kepada Chong Wei dan apa yang Chong Wei perlukan dalam aspek taktikal.

"Ini penting kerana mereka boleh membantu ke arah persiapan itu. Saya latih dua rakan sepelatih ini seperti mereka mahu bermain untuk Kejohanan Dunia," kata Misbun.