Wee Kiong-V Shem terlepas dua kejohanan di Eropah

Oleh Penulis Jemputan 4 Oktober 2018 747
Wee Kiong-V Shem terlepas dua kejohanan di Eropah
Waktu sukar buat beregu lelaki utama negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, berpanjangan apabila terpaksa melupakan dua kejohanan di Eropah bulan ini gara-gara kecederaan dialami V Shem.

Kecederaan menimpa V Shem ketika penyingkiran daripada pusingan kedua Terbuka China yang berakhir 23 September lalu.

Kemerosotan pretasi mereka pasca temasya Sukan Asia 2018 tidak menampakkan petanda untuk berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Seminggu sebelum saingan Terbuka China, mereka dihadiahkan kekalahan mengejut dalam pusingan pertama Terbuka Jepun kepada pasangan India, Manu Attri dan B. Sumeeth Reddy.

"Selepas pulang dari Jepun, kami telah membuat penilaian terhadap kecederaan V Shem dan sehingga kini, dia masih belum pulih untuk menjalani latihan," kata ketua jurulatih beregu negara,  Paulus Firman.

"Kami sedang meneliti persembahan lepas Wee Kiong-V Shem dan akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan untuk kejohanan yang bakal disertai pada masa akan datang."

Meskipun akur dengan tuntutan pelbagai pihak yang mahu melihat kembalinya Wee Kiong dan V Shem ke puncak dunia, perhatian juga perlu diberikan kepada beregu lain.

Ini merujuk kepada satu lagi gandingan senior, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dan pasangan meningkat naik, Aaron Chia-Soh Woi Yik, yang juga dalam perancangan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami akan terus memantau persembahan Aaron-Woi Yik hingga tahun depan. Kami menyasarkan mereka dapat berada dalam kelompok 15 terbaik dunia," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen