Ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, bersikap terbuka tentang kelibat Tan Wee Kiong-Goh V Shem yang digandingkan semula.

Ini kerana penggabungan semula itu sebenarnya sudah berada dalam perancangan Soon Kit ketika krisis prestasi di antara mereka memuncak sebelum ini walaupun dalam masa sama rancangan itu menjurus kepada kepincangan dalam perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melayakkan diri ke Piala Thomas.

Soon Kit menawarkan perspektif berbeza dalam menceritakan keputusan ini.

Baginya, ketegangan hubungan di antara Wee Kiong-V Shem perlu reda sebelum terbit perbincangan untuk kembali menggandingkan mereka. Cuma, keadaan genting buat skuad negara memaksanya untuk mempercepatkan perancangan tersebut.

"Kami sudah merancang perkara ini lebih awal lagi. Mungkin ia petanda baik untuk mereka kembali digandingkan dan ia juga akan bagus untuk pasukan.

"Mereka kelihatan positif selepas dipisahkan dan digandingkan semula.

"Ia langkah penting dalam fasa akhir persiapan kami. Pemain-pemain menghadapinya secara positif kerana sedar kepentingan mewakili negara dalam Piala Thomas," ujarnya.

Wee Kiong-V Shem serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin hampir pasti membentuk skuad kelayakan Piala Thomas dalam Kejohanan Berpasukan Asia, Februari depan.

Situasi ini menerbitkan keterbukaan dalam saingan merebut slot beregu ketiga negara.

"Saya masih mahu melihat siapakah yang lebih berkeinginan untuk mewakili negara. Kami mahu mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi agar setiap orang dapat bergantung kepada satu sama lain," kata Soon Kit.