Muncul selaku beregu nombor satu dunia tidak membawa sebarang erti seandainya Tan Wee Kiong dan Goh V Shem tidak mempamerkan aksi persis kedudukan tertinggi itu di dalam gelanggang.

Wee Kiong dan V Shem kekal sebagai beregu lelaki nombor satu dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Antara kejayaan gandingan itu pada musim 2016 ialah sebagai finalis Sukan Olimpik Rio, termasuk mendakap gelaran sulung dalam Siri Super Premier Terbuka Denmark.

Tuah turut memihak kepada mereka dalam merampas status nombor satu dunia berikutan persaraan beberapa pemain veteran seperti bintang Korea Selatan, Lee Yong Dae dan jaguh Indonesia, Hendra Setiawan, daripada kem kebangsaan masing-masing.

"Sememangnya mereka telah bermain dengan begitu baik sekali. Mereka merupakan pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio dan juga telah memenangi Siri Super Denmark yang juga merupakan gelaran siri super pertama mereka. Bagi saya, mereka berada di landasan yang tepat.

"Misi mereka sebenarnya bukan untuk mengejar ranking pertama dunia tetapi untuk mengekalkan ranking itu.

"Mereka perlu bekerja keras dan saya melihat mereka mempunyai kerjasama yang bagus antara satu sama lain. Satu perkara yang mereka perlu fokus adalah konsistensi di dalam permainan," kata bekas beregu lelaki negara, Lee Wan Wah.

Wan Wah turut berpandangan akan ada perubahan drastik terhadap saingan beregu lelaki dunia pada musim 2017.

Sambil Malaysia terus memandang kepada Wee Kiong dan V Shem sebagai harapan utama, bekas ikon beregu Malaysia itu turut berasakan Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi juga berupaya untuk muncul selaku gandingan yang berkualiti.

"Saya melihat negara mempunya ramai bakat muda yang sedang meningkat, termasuk beregu negara, Teoh Ee Yi dan Ong Yew Sin yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sejak kebelakangan ini.

"Saya menjangkakan akan tiba masa yang menarik buat badminton negara kerana Tan Boon Heong akan bermain dengan Hendra. Saya juga berasa Yong Dae akan turut kembali beraksi tetapi bukan sebagai pemain negara, mungkin sebagai pemain profesional."