Wee Kiong-V Shem perlu buktikan kepada BAM -- Selvaraj

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2018 119
Wee Kiong-V Shem perlu buktikan kepada BAM -- Selvaraj
"Jika kata dua daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal dicapai Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, maka laluan mereka untuk kembali sebagai antara beregu terbaik dunia ibarat mustahil."

Demikian pandangan bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj.

Selepas peluang demi peluang diberikan, BAM akhirnya menawarkan kata dua kepada Wee Kiong dan V Shem yang masih dibelenggu kemerosotan prestasi -- sama ada kembali sebagai beregu elit dunia menjelang Mac tahun depan atau bersedia menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai beregu profesional.

"Mereka kerap bermain secara individu dan bukannya bermain secara beregu.

"Itu merupakan masalah utama yang dihadapi beregu kebangsaan.

"Mereka perlu mengekalkan prestasi yang baik di atas gelanggang, malangnya mereka tidak berupaya melakukannya.

"Mungkin mereka akan menjadi lebih baik jika bergerak secara profesional.

"Apa yang penting adalah mereka tahu mengenai masa depan mereka dalam sukan badminton," katanya.

Amaran BAM itu tidak terhad kepada Wee Kiong dan V Shem sahaja memandangkan badan induk itu dijangka menyingkirkan tujuh lagi pemain yang gagal mempamerkan prestasi sebenar menjelang tahun depan.

Ia berdasarkan perancangan BAM untuk memastikan pembentukan skuad kebangsaan berkualiti daripada jumlah 48 pemain secara keseluruhan.

"Secara keseluruhan, BAM perlu menjaga sejumlah atlet yang ramai.

"Jika pemain itu tidak dapat memberikan prestasi terbaik, BAM perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan atau menyingkirkan mereka.

"Ia penting bagi memupuk kesedaran terhadap barisan pemain tentang tanggungjawab mereka," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen