Wee Kiong belum fikir tinggalkan pasukan negara

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2017 1384
Wee Kiong belum fikir tinggalkan pasukan negara
Pemain beregu elit lelaki negara, Tan Wee Kiong, tidak berselindung dengan hasratnya mengikut jejak langkah jurulatihnya, Jeremy Gan , untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) satu hari nanti.

Tetapi, dia menegaskan akan terlebih dahulu melakukan apa yang terdaya untuk menyinar bersama gandingan barunya, Ong Yew Sin.

Wee Kiong adalah antara yang pemain paling terkesan dengan keputusan drastik Jeremy meletak jawatan.

Semasa bergandingan dengan Goh V Shem, Jeremy merupakan mentor yang membimbing mereka sehingga menjadi beregu nombor satu dunia.

"Bagi saya, ia adalah satu kehilangan besar buat kem badminton negara. Saya perlu positif kerana masalah pasti akan sentiasa ada.

"Buat masa sekarang, saya masih belum memikirkan untuk turut meninggalkan pasukan negara. Saya akan berikan 100 peratus untuk bersama pasangan baru," katanya.

Kenyataan Wee Kiong itu juga pasti bersandarkan kepada faktor emosi kerana dia terpaksa melalui pelbagai episod duka sepanjang tahun ini.

Bagaimana dia membentuk keserasian bersama V Shem yang mengambil tempoh panjang, begitu juga yang diperlukan dengan Yew Sin.

Dua saingan di Eropah bermula dengan Siri Super Terbuka Perancis hujung bulan ini akan menjadi penanda aras tahap keserasian Wee Kiong dan Yew Sin.

"Kalau boleh, kami mahukan keputusan yang baik tetapi ia bukan sesuatu yang mudah dan pasti memerlukan masa," tambah Wee Kiong.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin mengesahkan menerima surat peletakan jawatan  jurulatih beregu lelaki, Jeremy.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan surat peletakan jawatan itu adalah notis selama tiga bulan.

Tan Wee Kiong

Umur: 28 Tahun
Asal: Tangkak, Johor 
Ranking terbaik: 1

Pencapaian terbaik:

• Pingat perak Sukan Olimpik 2016
• Dua kejuaraan Siri Super
• Tiga kejuaraan Grand Prix Emas 
• Dua emas Sukan Komanwel 2014
• Dua gangsa Sukan Asia 2014

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen