Jurulatih badminton beregu lelaki negara, Vountus Indra Mawan Saniru, tidak kisah dianggap sebagai calon yang kurang berpengaruh, sebaliknya menjanjikan kerja keras berterusan selepas dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Dia dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki negara bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jeremy Gan.

Vountus, yang pernah berada di bawah BAM dari 2002 hingga 2012, tidak menyangka menjadi pilihan untuk membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, kerana terdapat beberapa calon seperti Yap Kim Hock dan Datuk Seri Jalani Sidek yang dilihat lebih layak berdasarkan tahap pencapaian mereka.

Bagaimanapun, Vountus ada pendirian tersendiri di mana setiap bekas pemain negara mempunyai kelebihan masing-masing termasuklah dirinya yang percaya mampu membantu skuad beregu lelaki.

"Tiada apa-apa yang hendak dibuktikan kerana setiap jurulatih mempunyai kelebihan masing-masing. Saya percaya kelebihan yang saya ada ini diperlukan BAM.

"Sudah tentu ada rasa tertekan, tetapi seperti yang saya katakan, melalui pelan dan struktur yang bagus, saya percaya kami boleh lagi melahirkan pemain yang sama seperti Tan Wee Kiong dan Goh V Shem.

"Saya juga percaya apa yang berlaku kepada mereka (dipisahkan) adalah pelan yang disusun oleh Soon Kit untuk kejohanan besar tahun depan," katanya.

Dalam tempoh percubaan tiga bulan ini, Vountus ingin membentuk keserasian bersama pemain selain mahu menerapkan ilmu sains sukan yang lebih berkesan kepada mereka.

"Kami akan membuat persediaan kepada pemain daripada segi mental dan fizikal sebelum dan selepas bertanding, dan ini menyebabkan kami mempunyai persefahaman," katanya.

Vountus Indra Mawan Saniru

28 Tahun
Acara: Beregu lelaki

Pencapaian terbaik sebagai pemain:

• Pingat emas Kejohanan Remaja Asia (berpasukan campuran)
• Juara Kejohanan Antarabangsa Auckland 2015
• Juara Kejohanan Antarabangsa Iran 2008