Vivian tekad perbaiki prestasi

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2017 145
Vivian tekad perbaiki prestasi
Pemain badminton beregu wanita negara, Vivian Hoo, bertekad untuk memperbaiki prestasi dalam membantu skuad negara menghadapi beberapa tugasan penting tahun depan.

Persembahan kurang konsisten Vivian bersama gandingannya, Woon Khe Wei, mencetus persoalan sama ada mereka masih mampu untuk menjadi sandaran utama skuad beregu wanita.

Cabaran utama pada 2018 sudah pasti kelayakan Piala Uber menerusi Kejohanan Badminton Asia di Alor Setar, Kedah pada Februari depan.

Vivian mengakui skuad beregu wanita perlu meningkatkan lagi daya saing andai ingin memastikan Malaysia mampu menduduki kelompok empat terbaik untuk layak ke Bangkok.

“Saya dapat melihat peningkatan dalam prestasi beregu wanita remaja negara dan ini merupakan petanda yang positif bagi menghadapi saingan akan datang,” kata Vivian.

Vivian ditemui selepas menjadi pemain jemputan dalam Kejohanan Senior Karnival Perangsang Selangor 2017 di Kayu Ara, semalam. Turut serta ialah Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Shevon Lai Jemie.

Sementara itu, Vivian turut berharap tahun 2018 dapat menjelmakan sesuatu yang berbeza buat dirinya selepas mengalami beberapa siri kecederaan.

Hanya gelaran Terbuka New Zealand pada Julai lalu menjadi kejayaan tunggal Vivian-Khe Wei tahun ini sebagai menamatkan penantian sejak kali terakhir memenangi Grand Prix Emas Terbuka Indonesia pada 2009.

“Kami berada dalam landasan yang baik. Saya berasakan kami mampu memberikan yang terbaik untuk negara,” tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen