Kemahuan mengerah keringat demi Malaysia tetap membara buat Olimpian Rio 2016 terakhir di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, belum tentu kudrat beregu wanita negara, Vivian Hoo ,berupaya mendukungnya menghadapi cabaran mendatang ketika persaraan menjadi tanda tanya.

Vivian merupakan nama tidak asing dalam kalangan peminat badminton tanah air sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008.

Bersama Woon Khe Wei, mereka muncul pasangan nombor satu negara di samping memenangi pingat emas Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel 2014 serta mencipta penampilan dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Sejak persaraan Khe Wei pada hujung 2018, Civian terus memainkan peranan sebagai senior dan kini membentuk beregu bersama Yap Cheng Wen tetapi waktu berjauhan daripada badminton membuatkannya lebih banyak memikirkan hala tuju masa depannya.

"Saya rasa sekarang semua orang memikirkan apa kejohanan seterusnya memandangkan Sukan Olimpik juga telah ditukar kepada tahun depan. Jadi, saya fikirkan perancangan selepas ini," kata Vivian.

"Saya memang fikirkan persaraan tetapi memang sukar untuk bayangkan meninggalkan sukan badminton. Dua bulan tidak masuk gelanggang sudah rasa sangat berbeza. Apa pun, tengok kudrat badan selepas ini. Saya cuba untuk terus berjuang."