Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Siri Super Akhir di Dubai susulan kekalahan kedua dalam peringkat kumpulan, hari ini.

Gandingan itu tewas kepada pasangan Korea Selatan, Shin Seung-Chan-Jung Kyung Eun, 19-21, 17-21, dalam tempoh 40 minit.

Selepas mempamerkan aksi longlai ketika menentang gandingan Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen, semalam, Vivian dan Khe Wei ibarat menghampiri prestasi sebenar dalam perlawanan ini.

Set pertama berlangsung begitu sengit sehingga ke penghujung aksi sebelum Vivian dan Khe Wei tewas 19-21.

Set berikutnya tidak banyak berbeza dengan mereka terus mengerah keringat mengejar Seung Chan dan Kyung Eun yang beraksi lebih agresif.

Akhirnya, selepas 40 minit bertarung Vivian dan Khe Wei terpaksa akur dengan kekalahan 21-17.

"Tidak cukup konsisten, itu yang membuatkan kami kalah dalam set pertama. Dalam set kedua, mereka bermain lebih agresif daripada kami. Jadi, kami seperti tidak boleh ikut rentaknya," kata Khe Wei.

Sementara itu, Vivian turut berasakan sekiranya mereka merampas set pertama, tidak mustahil keseluruhan perlawanan berpihak kepada mereka.

"Kami pasti, kalau menang dalam set pertama tadi, mungkin keyakinan kami lebih tinggi.

"Permainan hari ini lebih baik daripada semalam tetapi ia masih tidak cukup untuk memenangi perlawanan," kata Vivian.

Gandingan negara itu akan menentang pasangan muda China untuk aksi pelengkap jadual, esok.