Vivian-Cheng Wen boleh jadi sandaran buru tiket Olimpik 2020 

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2018 403
Vivian-Cheng Wen boleh jadi sandaran buru tiket Olimpik 2020 
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyokong penuh beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, dikekalkan selaku gandingan tetap bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Hanya tiga bulan digandingkan, Vivian-Cheng Wen cepat serasi di dalam gelanggang.

Vivian sebelum ini bersama Woon Khe Wei, namun pasangannya itu kerap dibayangi kecederaan manakala Cheng Wen pula terpaksa bertukar-tukar pasangan sejak gandingannya, Lim Yin Loo, mengambil keputusan mengundurkan diri daripada kem negara Januari lalu.

Bagaimanapun, Norza tidak mahu kejayaan yang mereka kecapi hanya setakat menjuarai Terbuka Macau dengan misi selepas ini adalah layak ke Sukan Olimpik.

"Kami masih tercari-cari kombinasi terbaik, namun saya percaya dengan apa yang disuarakan Vivian-Cheng Wen selepas kemenangan tersebut bahawa mereka sendiri mampu pergi lebih jauh lagi," ujarnya.

Dalam erti kata lain, Vivian-Cheng Wen perlu berusaha menaikkan mata ranking mereka dari kedudukan ke-75 ke kelompok 16 terbaik apabila kelayakan ke temasya Tokyo 2020 bermula dari April 2019 sehingga April 2020.

"Saya yakin dan berasakan ia satu langkah yang baik untuk diteruskan," katanya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen