Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, bakal berdepan gandingan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dalam perlawanan penentuan juara Siri Super Akhir di Dubai bagi menamatkan musim 2016 sebagai yang terbaik di dunia, malam ini.

V Shem dan Wee Kiong memiliki rekod kurang memberangsangkan dalam pertemuan menentang gandingan dari Jepun itu.

Pasangan negara hanya berupaya menang sekali dalam tiga pertembungan, di mana kali terakhir mereka tewas tiga set dalam Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters, Januari lalu.

Sudah pasti, ini pertemuan lebih sukar berbanding mana-mana beregu dalam kalangan 10 terbaik dunia buat V Shem dan Wee Kiong.

"(Pasangan) Jepun mempamerkan aksi yang baik sejak kebelakangan ini. Mereka memenangi Terbuka Hong Kong baru-baru ini. Kami harap dapat memberikan saingan yang hebat," kata Wee Kiong.

Dengan kemahuan untuk memastikan mereka pulang dari Dubai dengan kejuaraan, V Shem turut berkongsi apa yang diperlukan untuk mengatasi Kamura dan Sonoda.

"Mereka konsisten dan kuat. Kami mungkin akan merancang permainan kami dan bermain bersungguh-sungguh dalam gelanggang," kata V Shem.