Gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong terus cemerlang menempah slot ke final Siri Super Terbuka Denmark selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Mathias Boe/Carsten Mogensen.

Selepas kejayaan memberangsangkan meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio lalu, pasangan negara ini gagal menyerlahkan taring mereka.

Tersingkirnya Datuk Lee Chong Wei dalam suku akhir, menyaksikan V Shem/Wee Kiong menjadi sandaran tunggal negara untuk melangkah ke final.

Namun, bertemu Boe/Mogensen bukan mudah buat pasangan negara ini.

Mereka berhempas-pulas dalam set pertama, namun gagal menyaingi pasangan Denmark ini yang menang 22-20.

Di set kedua, V Shem/Wee Kiong memperkemaskan permainan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-15.

Bersambung dalam set penentuan, permainan kurang kemas Boe/Mogensen dimanfaatkan sepenuhnya V Shem/Wee Kiong untuk memastikan slot ke final dengan kemenangan 21-11 dalam pertarungan selama 57 minit.