Beregu nombor satu dunia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, menutup musim 2016 dengan kejuaraan Siri Super Akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, 21-14, 21-19, dalam perlawanan akhir di Dubai, malam ini.

Tekanan cukup hebat buat V Shem-Wee Kiong yang menggalas harapan selaku wakil tunggal negara yang mara ke peringkat akhir, apatah lagi menjadi aksi penutup kejohanan berprestij itu bagi musim ini.

Perlawanan seimbang pada awal permainan, namun V Shem-Wee Kiong memastikan mereka sentiasa berada satu mata di hadapan Kamura-Sonoda sehingga pertengahan set pertama.

Gandingan utama negara itu kekal tenang dalam mengawal rentak permainan, malah berjaya melebarkan jurang mata kepada 15-11 sebelum menang 21-14.

Dalam set kedua, Kamura-Sonoda menemui semangat baru yang mendorong mereka meningkatkan tempo permainan sehingga menjerat V Shem-Wee Kiong dengan mendahului 7-4.

V Shem-Wee Kiong, bagaimanapun, enggan membenarkan ancaman wakil Jepun itu menguasai mereka apabila perlahan-lahan memperkemas permainan untuk kembali memastikan permainan seimbang sehingga 13-12.

Harapan yang semakin pudar menuju mata terakhir permainan berjaya dinafikan V Shem-Wee Kiong dengan sentuhan keajaiban mengangkat mereka menjulang gelaran selepas menang 21-19.

Ia satu kejayaan yang cukup bermakna buat beregu negara itu terutama selepas meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016 dan kini terus unggul menguasai takhta ranking nombor satu dunia.