Pemain badminton beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, tidak boleh mensia-siakan peluang yang diberi oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang masih menaruh kepercayaan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi bagi musim depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, masih memberi peluang kepada pasangan tersebut walaupun prestasi mereka kurang memberangsangkan musim ini.

Pencapaian bekas beregu nombor satu dunia itu merudum selepas hanya sekali mara ke final daripada 12 kejohanan yang disertai tahun ini.

Bagaimanapun, Choong Hann tetap yakin gandingan itu mampu menjadi taruhan terbaik dalam saingan Sukan Olimpik 2020, apatah lagi tahun depan cukup penting buat mereka yang bakal berdepan kelayakan ke termasya berprestij itu.

"Sudah tentu kami berada di sini untuk membantu dan dalam masa sama, kami perlu menetapkan sasaran.

"Mereka sudah mencapai prestasi terbaik, jadi kami percaya mereka mampu melakukannya," kata Choong Hann.