V Shem tiada masalah terima arahan Vountus 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2017 626
V Shem tiada masalah terima arahan Vountus 
Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, teruja menerima kehadiran Vountus Indra Mawan Saniru selaku jurulatih, apatah lagi pernah menjadi rakan sekelas sewaktu zaman persekolahan dahulu. 

V Shem dan Vountus merupakan rakan sekelas semasa menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil, bermula pada 2004 dan pernah bergandingan selama tiga tahun sehingga 2006. 

Sudah pasti, ia bukan sesuatu yang janggal untuk V Shem menerima bekas pemain negara itu sebagai jurulatihnya meskipun tahap pencapaiannya tidak setaraf dengan Jeremy Gan yang bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak lama lagi. 

Walaupun mereka sebaya pada usia 28 tahun, ia bukan alasan buat V Shem tidak menghormati Vountus sebagai jurulatih apabila menegaskan tetap melihat bekas pengendali Akademi Badminton Cuntapay di Belanda itu mempunyai kredibiliti tersendiri untuk membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit. 

"Saya sudah bersamanya sejak tingkatan satu sehingga kami berusia 20 tahun. Kami berkawan baik. Tiada masalah buat kami berdua untuk bekerjasama sebagai pemain dan jurulatih. 

"Saya akan menghormati program latihan yang diaturkannya," katanya. 

Seorang lagi pemain, Ong Yew Sin, pula percaya pilihan yang dibuat BAM adalah tepat. 

Baginya, kelebihan jurulatih itu tidak boleh sekadar diukur dengan tahap pencapaian semata-mata kerana Vountus juga mempunyai latar belakang sains sukan yang boleh membantu pemain. 

"Tidak semestinya kalau pencapaian anda bagus, anda akan menjadi jurulatih yang bagus.

"Terdapat elemen lain contohnya dia dapat mengendalikan latihan dengan baik," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen