Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, ternyata terkejut dengan pengumuman baru oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan kembali menggandingkan dia dengan Tan Wee Kiong selepas berpisah empat bulan lalu.

Ia diumumkan di laman sesawang rasmi badan induk itu dan langkah berkenaan disahkan Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai.

Meskipun baru sahaja menerima perkhabaran itu, dia tidak ada pilihan lain selain menuruti kehendak BAM dan akan cuba meletakkan kepentingan negara sebagai perkara utama.

Ini bermakna dia terpaksa berpisah dengan Teo Ee Yi, pasangan yang baru sahaja membentuk keserasian dengannya sejak September lalu.

"Semua pemain mahu berjuang dan semua orang mahu berjaya, begitu juga saya.

"Tidak kira dengan siapa digandingkan, saya mahu mempamerkan permainan di tahap tertinggi," ujar V Shem.

Keputusan itu dipengaruhi tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang memutuskan tiada lagi pusingan kelayakan dalam kejohanan kelas kedua dan ketiga, iaitu Siri Super Premier dan Siri Super.

Sementara itu, bagi saingan kelas keempat dan kelima, Grand Prix (GP) dan GP Emas, hanya 28 slot untuk undian utama dan tambahan lapan lagi slot dalam pusingan kelayakan.

Dalam erti kata lain, kedudukan ranking V Shem-Wee Kiong ialah untuk membantu Malaysia menghadapi kelayakan Piala Thomas melalui Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan.