Pemain beregu profesional negara, Goh V Shem, bimbang kejohanan Piala Thomas-Piala Uber 2020 akan hilang seri jika negara-negara lain mula mengikut jejak langkah Taiwan menarik diri.

"Beberapa pasukan telah menarik diri daripada saingan Piala Thomas. Ketika ini, Malaysia tidaklah dilihat sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara namun masih terdapat peluang untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Hanya kerisauan tertulis di riak wajah pemain beregu berpengalaman itu, mengenai kejohanan berprestij yang boleh dianggap antara kejohanan penting selain Sukan Olimpik.

Di kala kem badminton negara resah mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika penganjuran Piala Thomas, mereka tetap berangkat ke kem motivasi di Pulau Tioman hari ini sebagai persiapan awal menghadapi cabaran di Denmark.

Mengenai ketidak hadiran V Shem di kem motivasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia menjelaskan ada hal keluarga yang harus diutamakan terlebih dahulu.

"Saya tidak menyertai kem latihan kerana isteri saya baru sahaja melahirkan anak kami dan saya bersamanya ketika ini di hospital. Saya akan menyertai latihan selepas segala urusan di sini selesai," kata V Shem.

Sementara itu, cabaran edisi keenam Purple League Remaja sekali lagi tampil dalam persekitaran norma baharu yang melibatkan 40 pasukan berbanding 22 pasukan sebelum ini.

Sistem pertandingan akan menyaksikan pasukan bersaing dalam format liga sepusingan bermula di Port Dickson dan seterusnya di Ipoh, Puchong dan Muar.

Empat pasukan teratas dari setiap daerah akan memasuki pusingan terakhir dan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM100,000 dan berpeluang menjalani kursus latihan intensif di Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Tidak kesemua 40 pasukan akan beraksi dalam masa yang sama. Kami telah menetapkan peraturan yang ditetapkan bagi setiap sesi," kata Ketua pegawai operasi Purple League, Ho Khek Mong.