Hasrat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, untuk terus beraksi di pentas tertinggi badminton semakin sukar selepas pembatalan empat kejohanan utama oleh badan dunia.

Semalam, Persekutuan Badminton Negara (BWF) mengumumkan penundaan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke temasya berprestij, Sukan Olimpik, sekali gus meranapkan impian beregu kebangsaan itu.

Ia termasuk empat kejohanan yang sepatutnya berada dalam radar persiapan V Shem dan Wee Kiong selepas terlepas saingan Seluruh England yang sedang berlangsung sehingga hari ini.

Terbuka Malaysia sepatutnya menjadi kelebihan buat pasangan beregu itu untuk memperbaiki kedudukan terkini ranking ke-13 kelayakan Olimpik memburu kelompok lapan terbaik menjelang 30 April depan.

"Kalau ia semakin serius, peluang memang tiada tetapi kami tidak putus asa. Namun, BWF tidak lakukan apa-apa, memang saya dan Wee Kiong terpaksa lupakan Tokyo 2020," kata V Shem.

Dia juga mengakui masih mengharapkan sesuatu daripada keputusan BWF itu atau terpaksa melupakan hasrat ke Tokyo 2020.

"Apabila perkara ini berlaku, kami tidak boleh buat apa-apa tetapi BWF boleh lakukan sesuatu. Ia mungkin tidak adil untuk mereka yang belum layak."