Gandingan beregu profesional lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang kini berada di tangga ke-13 dunia akur ketinggalan mata terlalu jauh dalam ranking melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, gandingan yang berjaya meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016 tidak mahu mengalah awal kerana masih ada tiga lagi baki kejohanan kelayakan.

"Ketika ini, kami agak ketinggalan namun tumpuan utama adalah berusaha mendapatkan kelayakan ke Olimpik, layak atau tidak, kami akan terus beraksi dalam kejohanan akan datang," kata V Shem.

Sementara itu, V Shem-Wee Kiong masih dalam fasa perancangan sama ada mahu menyertai kejohanan Terbuka India yang bakal berlangsung 11-16 Mei akibat kes Covid-19 yang semakin hari melonjak naik.

Apabila ditanyakan mengenai perancangan seterusnya jika tidak layak ke Olimpik, ini reaksi V Shem.

"Tidak memikir terlalu banyak kerana kami mahu terus berusaha bagi memastikan permainan yang terbaik di gelanggang," katanya lagi.